BNU

" dan Dia (menundukkan pula) apa yang telah Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berlain-lainan macamnya.Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran "(An-Nahl:13)

Semua yang berkaitan dengan Burong, Alam semulajadi, Habiat asal , Keindahan ciptaan dan kita.

" Wahai orang-orang yang beriman! tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulnya (muhammad s.a.w) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingakar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. " (An-Nisaa': 136)

Saturday 1 December 2012

Kebajikan Haiwan dalam Islam

 
Apabila menyentuh tentang hal ehwal kebajikan haiwan, nampak seolah-olah hanya golongan bukan Islam yang memberi tumpuan kepadanya. Tumpuan umat Islam amat minimum, malah mungkin mendekati nilai sifar. Sebenarnya ajaran Islam tetap memberi tumpuan kepada hal ehwal kebajikan haiwan. Mereka semuanya adalah makhluk Allah sepertimana firman-Nya:
 
خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الأَرْضِ 
رَوَاسِيَ 

أَنْ تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ
 
وَأَنزَلْنَا مِنْ السَّمَاءِ مَاءً فَأَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ.


Dia (Allah) menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia biakkan padanya pelbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat. [Luqman 31:10]


Terdapat beberapa hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang memberi perhatian khusus kepada hal ehwal kebajikan haiwan. Hadis-hadis tersebut menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang menjaga kebajikan haiwan dan ancaman yang berat bagi sesiapa yang meremehkannya. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anh bahawa baginda bersabda:
 
بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ
 
 بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ فَنَزَعَتْ مُوقَهَا
 
فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ.

Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu. [Shahih al-Bukhari – no: 3467]
 
Pada satu ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melintasi seekor unta yang kelihatan kempis perutnya kerana kelaparan. Lalu baginda bersabda:
اتَّقُوا اللَّهَ فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ الْمُعْجَمَةِ فَارْكَبُوهَا صَالِحَةً 

وَكُلُوهَا صَالِحَةً.

Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah ia dengan baik dan berilah ia makan dengan baik. [Dikeluarkan oleh Abu Daud dan disahihkan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – no: 23]
 
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran:
دَخَلَتْ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا فَلَمْ تُطْعِمْهَا وَلَمْ تَدَعْهَا 

تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ.

Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk makan serangga di tanah. [Shahih al-Bukhari – no: 3318]
 
Menjaga kebajikan haiwan tidak sekadar pada masa hidup mereka, tetapi juga pada saat kita akan menyembelih mereka. Sudah menjadi salah satu daripada adab menyembelih untuk menggunakan pisau yang tajam agar haiwan tersebut dapat melaluinya dengan mudah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
 
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ. فَإِذَا قَتَلْتُمْ 

فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ
 
وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ.

Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan ke atas setiap sesuatu. Maka apabila kamu 
membunuh maka perbaikilah cara membunuh dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara sembelihan. Hendaklah salah seorang daripada kamu mengasah pisaunya dan biarkan haiwan sembelihan mati tanpa terseksa. [Shahih Muslim – no: 1955]




No comments:

Post a Comment